Sunday, August 7, 2011

TRIBUT BUAT ERBAKAN


Tanggal 27 Februari 2011 menyaksikan seantero dunia sekali lagi menangisi pemergian satu prototaip gerakan Islam khususnya di Turki, Almarhum Necmettin Erbakan. Setelah 4 dekad mengalami pasang surut perjuangannya, mendekam dalam penjara, menjadi tahanan di rumah serta digulingkan dari tampuk kerajaan. Namun ruh perjuangannya masih terasa bahang hangatnya walaupun jasadnya sudah hilang. Karakternya yang tekad dan stabil dalam cita-cita dan keyakinannya serta tidak pernah menerima tentang ketidakmungkinan membuktikan legasi politik Islam beliau terus subur walaupun beberapa kali menghadapi terajang terjahan musuh-musuh Sekular yang lain.

Erbakan menunjukkan, persepsi politik dan geografi Muslim di Turki dan Dunia Islam telah berubah dengan mengenepikan doktrin yang kononnya umat Islam adalah golongan kelas kedua kepada satu kelompok suara terkuat demi masa depan negara mereka. Bibit penglibatannya dalam kancah politik bermula dengan penubuhan Parti Badan Nasional yang merupakan parti bercorak Islam pertama dalam era pasca Turki moden setelah keruntuhan Khilafah Uthmaniah di tangan Ataturk. Tetapi parti itu hanya bertahan selama 9 bulan selepas diharamkan atas dasar kononnya bertentangan dengan Dasar Perlembagaan Sekular. Namun begitu, lestari politiknya diteruskan melalui tertegaknya Salamet Partisi. Akhirnya, pada pilihanraya 1973 kerajaan campuran berjaya dibentuk dan beliau memegang portfolio Timbalan Perdana Menteri.

Namun beliau telah digulingkan oleh kudeta(rampasan kuasa) pimpinan Jeneral Kan’an Efren pada 1980, sekali lagi Erbakan mendekam dalam penjara. 3 tahun kemudian beliau dibebaskan dan Parti Refah diasaskan. Melalui parti tersebut, telah menjelmakan kemenangan yang diidamkan pada Pilihan Raya Umum 1996. Tetapi momentum kemenangan itu juga mula kendur berikutan kudeta postmodern 1997. Pada 1998, bersama temannya Ismail Alib beliau telah membentuk Parti Fadhilah. Akan tetapi menyaksikan sekali lagi intimidasi terhadap beliau apabila parti itu turut diharamkan kerana menentang secular. Pada 2001, tanpa putus asa Saadet Partisi ditubuhkan dengan dorongan bersama temannya Rajani Quthan. Pada masa yang sama menyaksikan anak didiknya, Recep Tayyib Erdogan turut menubuhkan AKP(Adalet ve Kalkinma Partisi) atau Parti Keadilan dan Pembangunan.

Itulah wadah terakhir Erbakan sebelum menghembus nafas perjuangannya pada usia 85 tahun. Felicity Party atau Salamet Partisi mengakhiri noktah perjuangan beliau. Ketika pertama kali memegang tampuk kekuasaan bersama Salamet Partisi, beliau banyak membawa pembugaran idealisme Islamis politiknya. Antaranya melalui mobilisasi dengan Negara-negara seperti Malaysia,Bangladesh,Nigeria,Mesir,Pakistan,Iran dan Indonesia bagi membentuk pakatan ekonomi gergasi Islam(G8) sebagai kontradiksi kepada G8 yang berproksikan Barat. Idea-idea Erbakan dilihat lebih membawa Turki lebih ketimuran dengan berjaya memulihkan sosio-ekonomi dan mengurangkan kadar inflasi secara mendadak dan drastik. Lenggok Erbakan dilihat memberi ancaman kepada sekular Republik Turki terutamanya status Sekularisme Kemalisme dengan dasarnya yang anti Imperialisme Barat.

Beliau menunjukkan karismatiknya dengan kemampuan berinteraksi dengan kekuatan politiknya tanpa bertindak sebagai oportunis. Beliau juga telah menbuat ‘Blue Print’ sebagai pandangannya yang total terhadap sistem mata wang,pertahanan,politik dan ekonomi. Cukup terserlah kebijakan politiknya apabila ucapannya mampu mengganggu gugat musuh. Antaranya ucapannya ketika kegemilangan karier siasahnya pada 1973;

“Umat kita adalah umat Iman dan Islam. Freemason dan Komunis berusaha terus menerus untuk merosakkan umat ini dan telah mencapai banyak kejayaan. Kuasa, media, perniagaan dan ekonomi berada di tangan mereka. Dalam berhadapan dengan taufan yang dahsyat ini, kita tidak mempunyai pilihan selain bekerja keras dengan satu hati dan satu barisan, sehingga kita dapat mengembalikan Turki kepada sejarahnya yang pertama dahulu, dan kita dapat menghubungkan sejarah kita yang gilang gemilang dengan Turki hari ini yang berpotensi tinggi”.


BELASUNGKAWA BAPA REFORMASI GERAKAN ISLAM TURKI

Mendung hitam Turki akhirnya menyambut sayu dan sepi menangisi pemergian satu karakter yang tak lekang mempertahankan ketuanan Islam di Turki yang telah dirobek oleh kekejaman Sekular Turki. Ramai para pimpinan gerakan Islam yang hadir memberi penghormatan terakhir kepada almarhum. Ada yang mengaitkan Almarhum Erbakan dengan M.Natsir Indonesia. Walau siapapun, ‘kedegilan’ beliau masih saya rindui.

Kesimpulannya,walaupun ada seorang sahabat yang menulis tentang kebijakan politik Recep Tayyib Erdogan dalam memimpin AKP. Tetapi jangan lupa jasa dan sumbangan Almarhum sebagai mentor kepada PM Turki itu khasnya dan kepada Negara republic itu amnya. Secara jujurnya, walaupun saya kurang bersetuju dalam beberapa tindakan beliau tetapi siapalah saya untuk menolak watak protagonis beliau di kancah siasah. Menitis airmata menatap karya ‘Secangkir Teh Pengubat Letih’ oleh Ustaz Hasrizal tatkala menukilkan kata-kata almarhum ketika memimpin Negara epicentrum Turki;

“Wahai Sultan Muhammad al-Fatih. Ini kami, tenteramu datang untuk membersihkan kembali Istanbul yang telah dicemar. Sesungguhnya Ankara adalah ibu kota Republik. Namun Istanbul inilah, ibu kota Ummah!”, ucapannya di tengah-tengah Stadium Inonu di Taksim pada Mei 2005 ketika Ulangtahun Pembukaan Istanbul.

Kredit buat Sang Mujahid Allahyarham Necmetin Najmullah Erbakan…

0 comments:

About This Blog

  © Free Blogger Templates Blogger Theme II by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP